Dalam kehidupan dunia lagi-lagi sebagai usahawan, sudah tentu ada orang yang menyukai anda dan sudah tentu ada yang akan membenci anda.
Dalam pengamatan saya, semakin ramai menyukai anda, semakin ramai juga orang akan membenci anda. Ini saya anggap realiti kehidupan.
Lihat dalam sejarah dunia, ada orang yang mencintai Nabi Muhamad sehingga mereka sanggup korbannya nyawa sendiri sejak dari dahulu sehingga ke hari ini.
Melihat kepada orang bukan Islam pula, Mahatma Gandhi yang dianggap tokoh keamanan pun dibenci oleh rakyat India sendiri. Beliau dibunuh oleh pelampau Hindu yang menganggap beliau bersikap tidak adil.
Melihat kepada senario politik dalam Malaysia pula, lihat saja ada saja yang membenci Tun Dr. Mahathir walaupun telah banyak berjasa kepada seluruh rakyat Malaysia. Begitu juga dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga disukai dan dibenci ramai.
Realiti ini tidak mungkin boleh diubah kerana ini adalah lumrah alam dan lumrah manusia.
Secara peribadi, saya pada mulanya sangat takut untuk dibenci orang. Jika saya mendengar ada orang yang tidak suka apa yang saya lakukan atau katakan, maka saya akan berhenti daripada melakukannya.
Contohnya sewaktu saya mula-mula mengadakan Kursus Borong China, saya mendapat banyak tentangan terutama daripada peniaga sedia ada yang mengatakan saya menjejaskan peluang mereka berniaga dengan membawa ramai usahawan ke negara China.
Namun orang yang berkata begini tidak sedar bahawa, dia sendiri saya yang bawa dan tunjukkan jalan untuk memborong di China. Saya cuma fikir orang ini tidak waras dan tidak sedar asal usul diri mereka.
Namun dalam banyak-banyak kritikan ini, ada juga yang mempunyai asas. Antaranya yang mempertikaikan peniaga-peniaga baru yang merosakkan pasaran dengan meletakkan harga terlalu rendah.
Ini saya ambil peduli. Atas inisiatif ini, setiap kali Kursus Borong China, saya akan mengajarkan peserta kaedah dan cara terbaik untuk menetapkan harga barang jualan. Dengan mengetahui kaedah sebenarnya penetapan harga ini, maka saya harap perkara ini akan selesai. Insya-Allah.
Berbalik kepada topik kita, pasti ada orang yang menyukai dan membenci anda. Jadi anda tidak perlu fikir banyak mengenai hal ini. Apa yang anda harus lakukan, lakukan analisa sendiri dan tanya rakan-rakan terdekat mengenai inisiatif perniagaan anda.
Jika anda yakin, ianya tidak salah. Teruskan dengan hati yang ikhlas. Insya-Allah anda akan berjaya.
Jika anda terlalu ikutkan orang yang menyukai atau membenci anda. Anda tidak akan maju ke hadapan.
Sekian, terima kasih
Shahabudeen Jalil
Shahabudeen Jalil bin Kamarul Jaman dilahirkan di Alor Star Kedah. Melanjutkan pelajaran di PPP, UiTM Shah Alam.


