Nurul Imran Koyube dan iLuvIslam – Pemangkin Dakwah Moden Yang Berjaya

Nurul Imran dan 4 orang rakannya yang menubuhkan ILuvIslam

Semalam saya berkesempatan bertemu dengan seorang usahawan muda yang mungkin sudah pun dikenali ramai di dunia internet atau lapangan dakwah iaitu Mohd Nurul Imran Koyube. Beliau adalah antara pengasas utama portal dakwah di internet iaitu IluvIslam.com

Saya mula mengenali beliau setahun yang lepas sewaktu beliau dan adik saya Mohamed Firdous dijemput untuk menjadi ahli panel jemputan dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O yang boleh ditonton di akhir artikel ini.

Pertemuan semalam sepatutnya dirancang hanya sekitar 1 jam tetapi berlanjutan sehingga 3 jam lamanya daripada pukul 8.00 sehingga 11.00 malam di The Castle, KL.

Banyak topik perbincangan yang menarik yang dibincangkan dan ini adalah antara beberapa soalan yang beliau ajukan kepada saya dan yang saya jawab untuk dikongsi bersama dengan pembaca.

1. Push Factor Sebagai Faktor Kejayaan

Imran menyatakan bahawa beliau percaya push-factor adalah satu perkara yang utama yang membawa kepada kejayaan seseorang. Push-faktor bermaksud sesuatu yang menolak seseorang untuk terus bergerak dan berjaya.

Push-factor ini boleh jadi satu kesempitan hidup, tekanan dari persekitaran, ataupun boleh jadi juga dengan tekanan dari keluarga dan rakan-rakan.

Saya sendiri secara peribadi mengakui memang push-factor sesuatu yang boleh menolak seseorang untuk berjaya, namun ini hanyalah salah satu faktor dan bukan faktor tunggal.

Contohnya, saya memulakan perniagaan apabila saya menyedari bahawa saya tidak boleh bergantung kepada pendapatan ayah saya yang kurang stabil pada waktu itu. Jadi ini adalah push-factor yang besar dalam hidup saya.

Namun apabila saya ingin ceritakan kepada orang lain kaedah untuk berjaya, mereka tidak mungkin akan mendapat push-factor yang sama. Maksudnya persekitaran kita semua berbeza dan mungkin push-factor ini juga berbeza.

Jadi saya terangkan kepada Imran, perkara yang lebih penting kita titikberatkan adalah bagaimana untuk memimpin diri sendiri.

Katakan seseorang anak yang lahir dalam suasana keluarga yang stabil. Di mana dia boleh mencari push-factor ini ? Jadi faktor yang lebih penting adalah bagaimana kita memimpin diri untuk mencapai objektif.

Passion dan Trick and Treat Yourself 

Salah satu soalan yang ditanya oleh Imran IluvIslam adalah bagaimana untuk mengekalkan momentum bekerja dalam sesuatu secara konsisten dan berterusan untuk tempoh masa yang lama.

Saya percaya, semua antara kita pernah mengalami situasi di mana kita mempunyai semangat dalam sesuatu untuk tempoh yang awal. Selepas satu tempoh masa tertentu kita jadi lemah semangat dan meninggalkan apa yang kita buat ini dan akhirnya ianya terbengkalai.

Ini masalah biasa yang kita biasa hadapi. Semua orang melaluinya cuma tak ramai orang akan ceritakan bahagian ini pada anda. Jadi anda tidak perlu mengutuk diri sendiri jika anda salah seorang daripada yang pernah melaluinya.

Bagaimana pula untuk menyelesaikannya. Saya menerangkan kepada Imran IluvIslam bahawa terdapat 3 kaedah yang paling utama yang saya gunakan ke atas diri sendiri untuk mengatasi masalah ini

2. Minat Mendalam – Passion

Passion bermaksud sesuatu kerja yang anda mempunyai hati dan minat sepenuhnya terhadapnya. Kerja sebegini tidak akan memenatkan anda. Jadi anda sebenarnya bukan bekerja tetapi berkarya.

Contohnya satu hari anda balik ke rumah dengan keletihan yang amat sangat. Isteri anda menyambut anda dengan senyuman mesra. Kemudiannya anda rehat di atas sofa kerana tidak mampu lagi untuk berdiri atau berjalan ke dapur.

Pada waktu isteri anda ke dapur untuk menyediakan teh o sebagai minum petang untuk anda, anda mendapat panggilan telefon dari rakan anda.

“Mat, jom main bola. Geng kampung sebelah cabar kita Mat. Takleh jadi nie”, kata kawan anda.

Anda pun dengan penuh semangat bangun melompat dari sofa empuk tadi untuk mencapai kasut bola, seluar dan jersi dan terus memecut dengan moto ex5 ke padang bola dan bermain bola selama 2 jam lamanya.

Isteri anda yang keluar dari dapur terkejut dengan kehilangan anda. Dia tentu keliru dan tidak faham apa sebenarnya yang terjadi.

Apa yang terjadi adalah passion anda adalah pada bermain bola sepak bersama rakan. Walaupun anda sudah letih separuh mati, namun apabila anda berlari 2 jam di atas padang bola itu, anda sebenarnya tidak bekerja. Anda sebenarnya sedang BERKARYA.

Jadi untuk tidak penat dan bosan melakukan sesuatu, pilih kerjaya yang anda mempunyai minat yang tinggi serta passion.

Seperti Nurul Imran, minat beliau dalam dakwah. Jadi beliau seharusnya mengekalkan apa yang sedang dilakukan dan 2 langkah lagi untuk beliau terus menjadi lebih efektif dan efisien seperti langkah seterusnya

3. Memperdaya Diri Sendiri – Trick Yourself

Kaedah kedua yang sangat efektif adalah menipu atau memperdaya diri sendiri untuk melakukan sesuatu. Mungkin nampak seperti pelik pernyataan ini. Namun ini adalah kaedah yang sangat efektif dan berkuasa. Anda patut mencubanya

Contohnya, katakan saya malas untuk menulis blog. Saya ada idea yang banyak untuk menulis, namun jari masih malas bergerak untuk menaip. Jadi apa yang saya harus lakukan sekarang ?

Tipu diri sendiri ? Yep.. ini kaedahnya.

Apa yang saya akan buat adalah, saya akan mengambil ipad saya dan cuba tulis idea-idea penulisan saya tu sikit-sikit. Kemudian, saya akan memperdaya diri saya untuk huraikan sedikit lagi setiap point tersebut. Alasan yang saya beri kepada otak saya adalah,

“jika tak tulis, nanti lupa”

Jadi jari pun mula menulis dan menghuraikan sedikit demi sedikit. Lepas itu anda cuma perlu ikut dan huraikan sedikit lagi dan sedikit lagi. Tanpa anda sedari nanti sebenarnya sudah banyak yang anda tulis.

Waktu itu tentu sukar pula untuk kita tinggalkan apa yang kita telah buat ini. Kerana kita sudah melabur masa dan tenaga yang banyak. Jadi kita tak ada pilihan lain selain teruskan apa yang kita tulis sehingga jadi artikel berkualiti tinggi.

He he he. Kaedah memperdaya diri sendiri ini sangat efektif dan artikel yang anda sedang baca ini juga adalah hasil saya memperdaya diri saya.

4. Beri Ganjaran Kepada Diri Sendiri – Treat Yourself

Pekerja kita bekerja dan dapat gaji mereka. Namun kita sebagai pemilik perniagaan, biasanya mengabaikan bahagian kita. Kita ambil gaji sekadar cukup untuk membayar semua keperluan asas seperti sewa rumah, bayaran ansuran kereta, makan minum dan peralatan rumah.

Setelah selesai semua ini, tidak ada apa yang tinggal untuk kita beri ganjaran kepada diri sendiri.

Jika anda bekerja sebegini, semangat dan tenaga anda tidak akan bertahan lama. Anda akan menjadi lemah hari demi hari. Ini disebabkan badan anda tidak mendapat isyarat bahawa dia mendapat sebarang ganjaran daripada anda. Dia hanya digunakan untuk duit. Sesiapa pun tidak suka jika hanya dipergunakan tanpa mendapat ganjaran.

Saya pernah melihat usahawan yang tidak pernah melancong untuk tempoh masa 10 tahun. Dia bekerja sepanjang masa dan akhirnya menyesal kerana tidak banyak yang berharga dia dapati dari hidupnya.

Orang sebegini sebenarnya terperangkap dengan perangkap yang mereka sendiri pasang. Mereka ingin bekerja keras supaya hidup senang. Namun mereka terus menerus kejar “hidup senang” ini sampai mereka mati. Mereka tidak pernah memberi ganjaran kepada diri mereka sendiri.

Saya secara peribadi memberi ganjaran kepada diri saya dengan melancong. Paling lama saya boleh berada di Malaysia tanpa melancong adalah mungkin sebulan. Saya jadikan melancong ini salah satu sasaran saya.

Saya bekerja dengan sasaran, selepas ini saya akan pergi melancong. Dan sewaktu melancong nanti, saya akan merasa bersalah terhadap perniagaan saya, jadi pada waktu itu saya akan letakkan sasaran baru iaitu, apabila saya balik dari melancong, saya akan bekerja lebih keras.

Bekerja —> Melancong —-> Bekerja —> Melancong

Jadi putaran ini berterusan namun saya akan lebih semangat untuk bekerja setiap kali saya pulang dari melancong. Selain itu melancong juga akan memberikan ketenangan dan menimbulkan pelbagai idea baru dalam perjalanan.

Solat adalah tiang agama. Namun solat sendiri dipermudahkan oleh Allah jika anda bermusafir. Jadi sudah tentu ada sesuatu yang penting di dalam meneroka bumi Tuhan ini.

Jadi ganjaran kepada diri sendiri adalah sangat penting untuk anda kekal kuat dan bertenaga dalam bekerja. Anda boleh pilih aktiviti lain selain melancong seperti memancing  ikan, melawat sahabat andai atau membuat sesuatu hobi yang anda suka dan minat.

Di bawah adalah contoh saya memberi ganjaran kepada diri saya apabila Lot.my memenangi anugerah NEF-Awani pada tahun lepas.

Memenangi Anugerah NEF-Awani

dan ganjarannya ???

Melawat Baitul Maqdis

Betul keduanya tak ada kaitan, namun badan saya menerima ini sebagai USAHA dan GANJARAN. Ini sudah memadai.

Lepas kembali dari Palestin, saya bekerja keras pula membawa 4 delegasi rombongan pegawai Tabung Haji yang bakal bersara ke China.. selepas itu, Euro Trip pula selama sebulan. Keh keh keh.

5. Prinsip 80-20

Menurut Nurul Imran juga, beliau sering mendapat nasihat dan petunjuk daripada  Dato‘ Hishamuddin, peneraju utama Syarikat Karangkraf yang menerbitkan Sinar Harian, Mingguan Wanita dan pelbagai majalah lain.

Antara salah satu nasihat penting yang diberikan Dato’ Hishamuddin adalah supaya Nurul Imran memahami konsep 80-20.

Saya menerangkan kepada Imran bahawa prinsip 80-20 adalah Prinsip Pareto yang memang satu prinsip penting dalam meningkatkan produktiviti dan untuk menjadikan apa yang kita buat ini memberi impak yang kuat dengan kerja yang sedikit.

Saya juga pernah menulis mengenai Prinsip Pareto di sini dan di sini 

Kesimpulan

Apa yang saya dapat simpulkan dari pertemuan yang boleh dikatakan ringkas ini adalah, setiap antara kita perlu berjuang dan berkarya dalam bidang masing-masing. Dan jika terdapat 1000 orang yang bekerja seperti Nicol David, Safee Sali atau Nurul Imran. Maka negara kita akan menjadi negara yang sangat kaya dan berkualiti tinggi dari segi harga dan modal insannya.

Moga anak-anak muda kita akan menjadikan mereka ini sebagai contoh teladan dan berjuang dan berkarya dalam bidang anda. Sebelum itu, seperti yang saya janjikan, ini adalah video temuramah Nasi Lemak Kopi O bersama Nurul Imran dari ILuvIslam dan adik saya Mohamed Firdous dari Anzac Consultancy. Saksikan dua orang anak muda yang berjaya ini.

Sekian, terima kasih

Shahabudeen Jalil

Dapatkan video Rahsia Teknik Jualan
Masukkan nama & email anda dibawah

Anda juga akan menerima tips, panduan, dan teknik perniagaan pemborongan terus ke inbox.
This entry was posted in blog. Bookmark the permalink.

15 Responses to Nurul Imran Koyube dan iLuvIslam – Pemangkin Dakwah Moden Yang Berjaya

  1. normilah salleh says:

    baru kenal pemilik luv islam nie

  2. artikel ini menarik dan mudah difahami. saya secara langsung atau tidak langsung , banyak menggunakan teknik yang dikongsikan oleh en shahabudeen dalam bisnes saya.

  3. Tamrin Amir says:

    Teringat pada rangkap yang pernah di ucapkan “People rarely succeed unless they have fun of what they are doing”- ( Dale Carnegie ). “Success is counted sweetest by those who never succeed” – (Emily Dickinson). Dan inilah yang senentiasa saya percayai dan yang selalu saya amati ” A man is not made for defeat. A man can be destroyed, but not defeated”- (Ernest Hemingway).

  4. Rui says:

    Saya suka baca artikel ini dan artikel prisip pareto. Harap dapat diperbanyakkan lagi artikel sedemikian.

  5. fifahnazri says:

    terima kasih kerana berkongsi ilmu yg bermanfaat ini. saya yakin tips yg diberikan oleh tuan ini mampu melahirkan usahawan yg hebat yg bekerja kerana passion dlm diri. semoga kita semua akan bekerja kerana minat bukan kerana terpaksa.

  6. Ustaz Love says:

    Salam…

    Harap dapat sampaikan kepada En. Imran yang website iluvislam terlalu banyak virus dan malware.. Ustaz Love baru masuk website beliau, klik beberapa link dan terus diserang virus sampai tak boleh detect hard disk.

    Amat rugi jika dibiarkan macam tu saja.. sbb sebelum ni banyak blog yg meletakkan link iluvislam dalam bloglist diserang malware sehingga mereka terpaksa remove link.. jadi, kena fokuskan dulu penyelesaian masalah sebelum melangkah untuk perancangan2 lain.. spt menampal lubang pada bekas sebelum mula mengisi air.

    Terima kasih

  7. Nadri says:

    Apa yg sya dpt slps membaca artikel ini ialah semangat utk berjaya & bknnya mencipaga alasan utk kegagalan…terima kasih…sya aa jugak follow website iluvislam…mmg kagum dgn mereka semua w/pn masih muda belia…

  8. helmi says:

    perkongsian yang menarik.agak jealous muda2 lagi dah mempunyai bisnes yang tersendiri.mencabar diri ini

  9. noorul0206 says:

    oh inilah pengasasnya….. bangganya produk malaysia

  10. syukran. blh dijadikan panduan.

  11. Zairi Zaidi says:

    Terima kasih atas artikel ini. Rasa bertambah bersemangat pula!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>