Ini artikel yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia hari ini. Saya pernah menulis sebelum ini satu artikel bertajuk “6 Idea Bisnes Sewaktu Demontrasi”
Demontrasi Jejaskan Perniagaan
Melihat kepada perbincangan di Internet, terdapat individu-individu yang mendakwa bahawa perhimpunan seperti Bebaskan Anwar 901 yang kita lihat beberapa hari lepas adalah baik untuk perniagaan.
Bagi saya, ini adalah satu pemikiran cetek daripada orang yang tidak tahu bagaimana sesuatu perniagaan itu berfungsi.
Jika ditanya kepada saya, sama ada perhimpunan, demontrasi atau rusuhan bagus untuk perniagaan atau tidak, tentulah jawapannya tidak.
Perniagaan yang baik wujud daripada suasana yang kondusif dan stabil dalam sesebuah negara. Jika keadaan tidak stabil dan huru-hara, orang yang paling terkesan adalah peniaga yang menjalankan perniagaan mereka.
Jika dilihat dari aspek pelanggan, anda mungkin lapang pada hari Sabtu di hujung minggu. Anda membuat perancangan untuk membeli-belah, tiba-tiba anda mendapat tahu bahawa terdapat perhimpunan oleh pihak tertentu.
Tidak kisah sama ada perhimpunan ini perhimpunan aman atau tidak, tentu anda akan membatalkan hasrat untuk membeli-belah pada minggu itu. Anda fikir, lebih baik berada di rumah berbanding meletakkan diri dalam risiko yang tidak berguna.
Dalam situasi sebegini tentulah peniaga akan rugi besar kerana pelanggan tidak keluar untuk membeli-belah. Pelanggan yang merancang untuk datang hari ini mungkin tidak datang lagi esok.
Mungkin anda mengatakan bahawa perusuh juga orang yang boleh menjadi pelanggan. Memang betul mereka orang, namun mereka tidak ke tempat perniagaan itu untuk membeli-belah. Mereka ke sana untuk menunjukan perasaan tidak puas hati mereka.
Mereka yang menyertai demonstrasi seperti pada Isnin lepas mungkin terdiri daripada penganggur, pekerja yang mengambil cuti tahunan atau pelajar yang ponteng kelas. Bagi mereka kerugian yang dialami adalah sangat minimum dan mungkin tidak ada.
Namun bagi peniaga, lain pula senarionya. Peniaga membayar sewa dan gaji berasaskan masa, jika kedai ditutup pada hari tertentu, peniaga tidak akan mendapat diskaun sewa daripada pemilik premis perniagaan dan peniaga juga tidak boleh menggunakan alasan ini untuk mengurangkan gaji pekerja semata-mata kerana ada orang tidak bertanggungjawab merusuh.
Sudahlah tidak mendapat keuntungan hasil jualan, terpaksa pula menanggung kerugian. Dua kali malang bagi para peniaga semata-mata kerana tindakan penganjur perhimpunan ini.
Sewaktu keadaan kelam-kabut sewaktu demonstrasi yang kononnya aman itu, peniaga terdedah kepada risiko kecurian, kerosakan dan kehilangan barang. Ini dapat dilihat daripada apa yang terjadi di London baru-baru ini.
Perhimpunan bermula aman kemudian atas sebab yang tidak diketahui perhimpunan aman ini bertukar menjadi pesta memecah masuk dan mencuri barang daripada kedai-kedai yang ada. Apakah dosa peniaga ini kepada perusuh untuk mereka dipertanggunjawabkan ?
Ini juga berlaku tempoh hari di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim apabila pelajar-pelajar yang merusuh memecah masuk untuk menyelamatkan diri ke sebuah klinik. Cuba bayangkan apa terjadi jika terdapat pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan pada waktu itu. Siapa pula yang akan bertanggungjawab di atas kerosakan ini jika bukan pemilik klinik ini sendiri ?
Bagi perniagaan yang berasaskan kepada pelancongan atau yang bergantung kepada jualan daripada pelancong seperti di Jalan Masjid India, Bukit Bintang dan Jalan Petaling kesan ini adalah yang paling teruk. Pelancong tidak akan memanjangkan percutian mereka semata-mata kerana rakyat negara anda sedang merusuh.
Pelancong yang ada akan melarikan diri ke tempat lain. Pelancong yang ingin datang akan membatalkan lawatan atau mengubah haluan ke negara lain. Kenapa perlu mereka meletakkan diri dalam risiko walaupun mendakwa ini adalah perhimpunan aman ?
Inilah yang berlaku di Mesir dan Thailand. Mesir kerugian 7.8 bilion hasil pelancongan dalam tempoh 6 bulan sahaja dan Thailand pula kehilangan 3.2 juta orang pelancong yang sama ada membatalkan atau mengubah haluan pelancongan mereka.
Sewaktu penulis melawat Thailand baru-baru ini, peniaga di sana rata-rata marah terhadap kumpulan baju merah atau baju kuning yang tidak bertanggungjawab. Mereka marah kerana peniaga seperti merekalah yang terpaksa menanggung kerugian hasil daripada pertempuran politik ini.
Maka wajarlah budaya perhimpunan haram ini dibendung daripada awal lagi supaya ia tidak memberi kesan kepada peniaga yang tidak bersalah.
Wajarlah perhimpunan ini diadakan di stadium. Perusuh sudah pasti mempunyai saluran lain untuk menyatakan ketidakpuasan hati. Ada ruang terbuka di internet, akhbar dan media milik pembangkang dan saluran undi yang terbuka luas.
Tidak perlulah bilangan lima ribu orang menunjuk perasaan ini menjadi wakil kepada rakyat Malaysia yang sudah mencecah 28 juta orang. Anda hanyalah 0.004 % daripada rakyat Malaysia keseluruhannya.
Sumber : Utusan Malaysia

Shahabudeen Jalil bin Kamarul Jaman dilahirkan di Alor Star Kedah. Melanjutkan pelajaran di PPP, UiTM Shah Alam.



dulu..kini..dan selamanya..umno..bodohhh…