DNA Usahawan

Awal tahun ini saya dijemput sebagai panel di Awani Astro untuk bercakap mengenai “Tahun Baru Azam Bisnes Baru”. Pengacara rancangan ini adalah Suhaimi Sulaiman.

Sewaktu di salah satu break interval, Suhaimi bertanya kepada saya samada saya bersetuju bahawa untuk menjadi usahawan seseorang itu perlu mempunyai DNA usahawan atau dengan bahasa mudah, perlu mempunyai darah yang mengalir sebagai usahawan.

Pada waktu itu saya kurang bersetuju dengan apa yang Suhaimi katakan (mungkin kerana saya tidak faham maksud sebenar Suhaimi). Bagi saya, semua orang dilahirkan sama jadi manusia mempunyai keupayaan untuk memilih jalan hidup mereka.

Saya menjawap soalan itu dengan mengatakan bahawa manusia dilahirkan dan diberikan belief system (sistem kepercayaan) oleh persekitaran. Dengan belief system itulah kita hidup sehingga kita mati. Jika baik belief system itu, baiklah kita. Jika buruk belief system itu buruklah kita. Namun otak manusia mempunyai kemampuan untuk mengubah belief system ini secara sendiri.

Otak adalah satu-satunya organ yang mampu memahami diri sendiri dan mengubah diri sendiri. Malah ia mampu untuk menipu diri sendiri.

Sewaktu kita dilahirkan, kita lahir dengan otak yang kosong dan di situ kita mula belajar dari persekitaran kita, dari ibubapa, abang, adik, rakan-rakan, jiran, televisyen, komputer, buku, papan iklan dan segala-galanya.

Bermula dari kita lahir sehingga kira-kira umur 5 tahun, kita membina sistem kepercayaan ini. Selepas dari itu, kita akan ikut sistem kepercayaan asas ini dan membesar.

Jika ibubapa kita jenis orang yang banyak bercakap, kita akan belajar dari itu bahawa “bercakap banyak adalah bagus”. Kita pun akan bercakap banyak.

Selepas satu tempoh, kita mula untuk tidak memahami kenapa kita melakukan sesuatu. Kita tidak tahu kenapa orang cakap kita ni pendiam ? kita tidak tahu kenapa orang cakap kita nie cakap banyak ? Ini semua terbentuk sewaktu tempoh pembentukan belief system itu.

Namun dengan adanya otak, kita masih mampu berubah sepanjang hidup kita dengan usaha yang keras untuk mengubah sistem kepercayaan ini.

Setelah habis program itu, saya mula mengkaji diri saya. Adakah saya mempunyai DNA usahawan ? Apakah yang Suhaimi Sulaiman katakan itu betul ? Suhaimi seorang yang sangat berpengalaman dan pernah menemuramah orang yang hebat-hebat. Mungkin beliau mempunyai wisdom tertentu yang saya belum fahami ?

Saya mula mengkaji bermula dari datuk sebelah ayah saya. Ya, dia mempunyai 2 buah kedai runcit. Satu untuk isteri pertama dan satu lagi untuk isteri muda.  Keseluruhan hidupnya dihabiskan di kedai runcit.

Datuk sebelah ibu saya juga seorang usahawan air sarbad dan kedai surat khabar di India. Saya tidak ingat sewaktu saya bertemu beliau. Namun kebanyakan cerita beliau diceritakan oleh ibu saya kepada saya.

Atta (ayah) saya juga menceburi pelbagai bidang perniagaan dan bekerja. Daripada kedai runcit kepada kedai menjual barang kimia, kemudian menjadi pengurus pasaraya, kemudian mengimport buruh dari India dan Bangladesh, kemudian travel agent, kemudian cleaning services dan macam-macam lagi. Mungkin kerana dia cepat boring dalam satu-satu perniagaan, menyebabkan dia jarang kekal dalam satu-satu perniagaan untuk tempoh masa yang lama. Walaupun dia tidak berjaya sepenuhnya dalam perniagaan, dia seorang yang diakui sangat bijak dikalangan rakan-rakan dan masyarakat sekelilingnya.

Kemudian saya lihat hidup saya. Saya memang minat berniaga (atau lebih tepat minat dengan duit) sejak dari kecil juga.

Sejak saya tidak ingat, saya telah mula menjaga kedai runcit. Membuat kerja-kerja biasa seperti menyapu sampah, mesin nyiok (menyagat kelapa), membungkus barang jualan, menimbang mengikut sukatan tahil dan grame, mengira stok yang baru sampai, menjual surat khabar di kedai runcit dan sebagainya.

Pada umur 8-9 tahun, saya dan kakak saya Dr. Habiba Nazeera Begum akan pergi tapak pembinaan untuk mendapatkan batu marmar. Batu marmar ini akan diketuk untuk dijadikan “batu tujuh” atau lebih dikenali sebagai batu seremban di KL. Batu ini diketuk dengan cantik dan kemudiannya akan dijual di sekolah dengan harga RM 0.70. Duit sekolah kami sehari pada waktu ini juga adalah RM 0.50 atau 0.70.

Pada hujung minggu, kami akan ke rumah nenek di Bukit Pinang. Di Bukit Pinang terdapat sebuah padang tembak tentera darat. Setelah tentera habis menembak, atau pada hari mereka tidak ada latihan, kami akan pergi mengutip kelongsong peluru. Kelongsong peluru ini akan diisi dengan serbuk bunga api (kabad). Dan sebatang bunga api dicucuk dari atas untuk dijadikan sumbu. Kemudian mulut bunga api ini akan dikepit dengan playar. Maka siapkan mercun yang bunyinya paling kuat pada waktu itu. Mercun ini akan dibawa secara sembunyi ke Taman Aman, Anak Bukit (rumah saya) untuk dijual kepada budak-budak di taman. Kehebatan kami membuat mercun dengan kelongsong peluru akan membuatkan budak-budak di taman menjadi cemburu. he he he.

Pada umur 11 tahun, saya mula bekerja sebagai caddy gold di Kelab Kedah Di Raja, Alor Star. Sehari saya akan mendapat pendapatan purata dlm RM 5.00-10.00 (untuk 9 lubang). Jika hari minggu saya akan mendapat RM 10.00-20.00. Kerja sebagai caddy agak berat juga jika difikirkan sekarang. Berjalan selama 2 jam dengan mengangkat beg yang berat di tengah panas terik. Namun pada waktu itu saya dan adik saya sangat gembira kerana dapat duit. Jika dapat RM 10.00. RM 5.00 diberikan kepada ibu dan RM 5.00 lagi disimpan sebagai duit sekolah. Duit diberi kepada ibu itu kononnya sebagai ‘tanggungjawab’ atau lebih tepat lagi supaya ibu tidak memberitahu bapa kami.

Kami menyembunyikan ini dari pengetahuan Atta . Namun sekarang kami mengetahui bahawa sebenarnya Atta  memang mengetahui tetapi dia buat-buat tak tahu kerana memang nak kami belajar bekerja. Walaupun saya bekerja sewaktu umur 11-12 tahun. Saya masih mendapat semua A dlm UPSR. Jiran saya sangat terkejut pada waktu itu memandangkan anaknya yang tidak mendapat keputusan sebegini sedangkan anaknya akan dipaksa baca buku sepanjang petang. Kelulusan untuk keluar bermain hanya diberikan pada hari tertentu dan waktu tertentu. Kami pula bebas, asalkan perlu balik ke rumah sebelum Magrib.

Pada waktu cuti sekolah, sekitar umur saya 12-14 tahun akan ada seorang abang yang akan datang mengambil saya di rumah untuk dibawa ke kilang membuat patung di Jitra atau kilang elektronik di Bakar Arang, Sungai Petani untuk bekerja sebagai cleaner. Kami akan disediakan rumah sewa dan kami akan bekerja selama 2 minggu. Setiap hari kerjanya, mengumpulkan semua sampah dari plastik hitam ke tong besar, tukar semua plastik hitam, mop lantai yang luas mata memandang, mengelap cermin sehingga berkilat-kilat.

Yang paling tidak saya lupakan pada waktu ini adalah “tandas wanita”. Jika nak dibandingkan tandas lelaki adalah 10 kali ganda lebih bersih dari tandas wanita. Jika ditugaskan untuk membersihkan tandas wanita adalah satu seksaan bagi saya. Manakan tidak, tandas ini sangat busuk, dipenuhi tisu dengan kesan lipstik di sinki, di jamban pula terdapat tisu wanita dengan kesan darah, lantainya pula sentiasa kotor. (Mungkin lebih ramai wanita berbanding lelaki di kilang ini) Namun lama kelamaan saya menjadi biasa dengan bau itu.

Setelah umur mencecah belasan tahun, saya mula beralih untuk menceburi bidang perniagaan pula. Bidang perniagaan yang dibuat adalah perniagaan yang adhoc. Tidak akan perniagaan yang kekal lama.

Yang saya ingat, saya bermula dengan menternak burung puyoh. Kami berjalan berkilometer jauhnya untuk berjumpa dengan seorang tua untuk belajar kaedah membela burung puyoh. Setelah diberikan tunjuk ajar, kami mula membela dalam sebuah reban. Mungkin kira-kira 20 ekor. Kemudian berlaku pergaduhan antara saya dan rakan saya dan kami tinggalkan perniagaan ini dan biarkan semua burung puyoh itu bebas.

Pada waktu itu terdapat iklan tin aluminum yang sangat terkenal, maka kami mengusahakan untuk mendapatkan tin aluminum, botol dan surat khabar dari seluruh Taman Aman, Anak Bukit. Kami akan pergi rumah ke rumah untuk meminta samada terdapat surat khabar atau botol terbuang. Semua barang ini dihimpun di atas sebuah beca salah seorang daripada kami dan kami akan pergi menjualnya di Alor Star. Pada waktu itu, kami kecewa, walaupun banyak barangan yang kami kutip sepanjang hari penuh satu beca, bayaran yang diberikan hanyalah beberapa ringgit. Tidak berbaloi.

Perniagaan seterusnya adalah pada bulan puasa, iaitu menjual dadih. Kami membaca buku mengenai dadih dan mendapati untuk mendapatkan dadih yang berkualiti tinggi, kami tidak boleh gunakan susu serbuk. Kami perlukan susu asli. Untuk bela lembu sendiri kami tak mampu. Jadi kami menaiki basikal ke Alor Pial, Gunung untuk membeli susu asli. Di sana kami belajar kaedah memerah susu lembu. Pada waktu itu saya lihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana sewaktu memerah susu lembu itu, jika lembu itu ingin kencing atau berak, percikan dari najis itu akan masuk sedikit dalam susu. Namun kami di ajar, itu perkara biasa. Memang semua susu begitu.

Setelah mendapatkan susu lembu asli, susu ini akan diadun dan dimasak menjadi dadih. Dadih ini saya jual di pasar Ramadhan Jitra untuk beberapa hari. Namun selepas itu, saya tidak sanggup lagi kerana tidak larat lagi menjerit “dadih, dadih, dadih” dengan berpuasa. Namun perniagaan ini juga rugi kerana kos pembuatan dengan menggunakan susu asli adalah sangat tinggi dan tidak dapat ditampung dengan harga RM 1.00 sebekas.

Sewaktu umur saya 15 tahun, saya semakin rapat dengan AJK PAS kawasan Anak Bukit. Saya mula mengikuti usrah-usrah mereka dan mesyuarat mereka. Saya sangat kagum dengan segala yang diajarkan. Dan saya dan kawan-kawan diberikan tapak jualan makanan di Expo PAS yang pertama di Kota Sarang Semut. Kami mengayuh beca untuk ke sana. Kami di sana selama 3-5 hari. Kali ni kami menjual capati pula. Pada hari pertama dan kedua sales memang ok. Pada hari ketiga sales sangat memberangsangkan namun kami telah melakukan kesalahan. Saya dan rakan saya tidak mahu kari hari yang sebelumnya itu rugi. Jadi apa kami buat. Kami panaskan kari itu selama yang mungkin. Dengan harapan kari yang basi dan dipanaskan dengan lama, akan menjadi elok semula.

Namun kami kecewa, kari basi ini berbau basi dan dicampur pula bau hangit. Pelanggan yang datang, akan makan untuk beberapa minit, dan kemudiannya akan mengadu dengan muka yang masam. Habis perniagaan kami pada hari itu. Pengajaran di sini, kari yang basi tidak boleh dikembalikan menjadi segar hanya dengan memanaskan dalam tempoh yang lama.

Sewaktu di Tingkatan 4 dan 5 saya mula meninggalkan perniagaan di luar sekolah. Pada waktu itu kami di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di ajar bahawa sekolah ini adalah sekolah yang melahirkan pemimpin negara. Mana tidaknya, pada waktu itu Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman dari KSAH, Perdana Menteri pada waktu itu Tun Dr. Mahathir Mohamad dari KSAH, Ketua Hakim Negara dari KSAH, Ketua Dewan Rakyat Tun Zahir Ismail dari KSAH, Pengerusi PBB pada waktu itu Tan Sri Razali Ismail juga dari KSAH.

Oleh itu saya bersama ‘patener’ saya Lukman Hakim Omar atau Bob memulakan perniagaan t-shirt College King untuk dijual sesama pelajar KSAH pada waktu itu. Saya buat kerja sikit dan Bob buat kerja banyak. Akhirnya dia ambil untung yang banyak dan berikan saya untung sedikit. Kami ada salah faham di sini, namun kami masih lagi berkawan baik sehingga hari ini.

Setelah habis SPM, saya mula bekerja di kedai buku dan majalah Happy News Agency di Alor Star. Disitu saya berpeluang untuk membaca semua buku-buku terbaru termasuk majalah-majalah yang baru sampai. Pengalaman ini sangat berharga kerana saya hampir mengetahui semua benda yang berlaku dalam politik negara pada waktu itu.

Setelah mendapat result SPM saya mendapat tawaran untuk membuat program persediaan ke Jerman. Saya perlu habiskan pembelajaran A-Level selama 2 tahun di Shah Alam dan seterusnya ke Jerman. Pada waktu pembelajaran ini, saya kurang berminat untuk belajar. Saya lebih minat berniaga. Saya mula menjual buku-buku nipis yang dikarang oleh Ibnu Hasyim dan dijual setiap minggu di Taman Melewar sewaktu ada ceramah PAS. Saya dan Bob akan menaiki moto dari Shah Alam ke Keramat untuk mengambil stok dan seterusnya ke Taman Melewar, Gombak untuk berniaga.

Keuntungan perniagaan ini tidaklah banyak, namun membuka peluang kami untuk berkenalan dengan peniaga lain.

Pada waktu itu ayah saya sudah menyewa sebuah kondo di City One Plaza. Pada waktu itu saya mula melayari internet dan terjumpa video Osama bin Laden. Saya mendapatkan CD itu dari luar negara dan menjualnya di Masjid India.

Perkara yang saya kurang faham sehingga hari ini. Setiap kali saya bukak meja untuk menjual, pasti ramai yang akan datang untuk membeli, dan apabila DBKL sampai dan kami terpaksa tutup meja jualan, pasti ramai akan datang membeli. Jadi saya membuat kesimpulan, orang membeli sewaktu meja dibuka dan sewaktu meja ditutup. Jadi saya akan berlakon membuka dan menutup meja untuk mendapatkan jualan yang banyak.

Setelah itu, saya mendapat durian runtuh apabila saya mendapat master copy CD pembentangan Ustaz Fadzil Noor di Parlimen. Pada waktu itu belum ada lagi rakaman dari parlimen yang dibawa keluar. Ini adalah yang pertama. Saya dapat dari Wan Johari, yang pada waktu itu adalah pegawai khas kepada Ustaz Fadzil Noor.

Saya mencari seorang abang, salah seorang peniaga di Taman Melewar sebagai pelabur dan saya bawa jumpa Wan Johari untuk membeli master copy ini. Kemudiannya CD ini dicetak dan saya menjual CD ini bagai pisang panas dan membuat keuntungan yang bagi saya banyak pada waktu itu.

Setelah saya gagal untuk melanjutkan pelajaran ke Jerman, saya berasa sangat kecewa dan mula bekerja sebagai penjual kereta. Dalam bulan pertama saya sudah menjadi top salesman di syarikat itu. Pada bulan kedua, saya masih top salesman. Boss saya seorang yang berbangsa Cina sangat kagum dan memarahi semua pekerja lama kerana tidak bekerja keras.

Selepas 2 bulan, baru saya menyedari, membuat sales adalah mudah. Tetapi yang lebih penting adalah menghabiskan kerja daripada berjanji kepada pelanggan, mengambil deposit, submit loan kepada bank, register kereta dan membuat delivery pada waktu yang tepat.

Perkara paling penting yang saya belajar di sini adalah apabila berjanji kepada pelanggan. Mereka akan ingat setiap yang anda janjikan. Boss saya yang berbangsa Cina ini akan berjanji macam-macam walaupun tidak dapat ditunaikan. Untuk menyelesaikan ini, dia akan membuat cerita baru dan kebanyakkan cerita ini akan dipercayai pelanggan.

Saya masih ingat, saya menangis 2 kali sewaktu dimarahi oleh pelanggan kerana tidak mendapat kereta baru sebelum hari raya seperti yang saya janjikan (boss beritahu saya, kereta boleh didapati sebelum hari raya). Pada kali yang kedua, saya dimarahi teruk kerana warna kereta yang diminta adalah hitam, tetapi saya menempah hitam kehijauan. Bagi saya, saya tak nampak banyak beza antara keduanya. Ia mmg terlalu sikit perbezaannya. Namun pelanggan itu tidak mahukan kereta itu. Syarikat Cempaka Aras Sdn. Bhd. pada waktu itu telah menawarkan untuk mengecat semula, pelanggan itu tidak mahu. Hendak dibayar ganti-rugi pun pelanggan itu tidak mahu. Sehingga kes ini menjadi kes polis.

Saya membuat kesimpulan, saya tidak mungkin bekerja sebagai penjual kereta jika saya tidak menipu. Saya perlu menipu banyak untuk menjadi pekerja yang baik. Jadi saya berhenti bekerja sebagai penjual kereta.

Selepas itu barulah saya bermula sebagai peniaga sepenuh masa, bermula dari menjual di internet, kemudian mengimport dari Thailand, Vietnam dan akhirnya di China sehinggalah hari ini…

Mungkin benar apa kata Suhaimi Sulaiman atau mungkin benar apa kata saya, ataupun kami sedang berbicara perkara yang sama ?

Adakah anda setuju seseorang perlu mempunyai DNA tertentu untuk menjadi usahawan atau memadai dengan mengubah sistem kepercayaan atau kedua-duanya sama ???

 

 

terima kasih

Shahabudeen Jalil

Dapatkan video Rahsia Teknik Jualan
Masukkan nama & email anda dibawah

Anda juga akan menerima tips, panduan, dan teknik perniagaan pemborongan terus ke inbox.
This entry was posted in blog. Bookmark the permalink.

One Response to DNA Usahawan

  1. Pingback: DNA Usahawan « Suhaimi Ramly

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>