feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Pilihan UMNO dan Pilihan Rakyat

Sepanjang 5 hari kebelakangan ini, saya berulang-alik dari kedai saya ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk menguruskan gerai jualan di sana.


Saya tidak berpolitik secara aktif, hanya sekadar membaca berita-berita politik dan membincangkan dengan rakan-rakan. Melalui berita-berita ini, banyak strategi dan pengalaman penting yang dapat kita pelajari. 

Walaupun saya masih lagi bingung dengan kekalahan Datuk Mukhriz Mahathir, saya juga tidak menyangkal bahawa lebih ramai ahli Pemuda UMNO yang menentang Khairy Jamaluddin berbanding mereka yang menyokongnya. Kita dapat lihat ketempangan demokrasi di sini. 

Kebanyakan blog pula tidak memberikan komen yang menarik mengenai PAU ini, mungkin kerana tiada liputan meluas dari media alternatif yang tidak dibenarkan membuat liputan. Ini persidangan UMNO, maka sudah tentu ini hak mereka. UMNO tidak harus disalahkan.

Samalah seperti kita nak buat mesyuarat keluarga, tentu kita panggil orang-orang tertentu saja. Takkanlah nak panggil semua orang masuk termasuk musuh kita sendiri ? 

Terdapat satu entry blog yang menarik dari Saiful Islam yang bertajuk Mesej Di Sebalik Keputusan. Dalam entri ini, beliau mengatakan bahawa "Apa yang ditolak rakyat, itulah yang dipilih oleh ahli UMNO". Fikir punya fikir, betul juga apa yang dikatakan oleh Ustaz ini.

Namun saya masih meletakan harapan kepada Dato' Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa negara kembali menjadi sebuah negara yang makmur. Pak Lah telah lingkupkan semua ini dalam masa 5-6 tahun.

Saya juga merasa terpanggil terhadap mereka yang menyebarkan berita tanpa asas mengenai Dato' Seri Najib, teliti amaran Allah di bawah

wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk mengetahui kebenaranya) dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu suatu kaum dengan perkara yang tak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)- sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.[al-Hujurat 49:6]

Selain itu juga, kita tidak seharusnya menyebarkan sesuatu yang kita tidak pasti kebenarannya. Kalau nak kata Najib terlibat dengan pembunuhan Altantuya, apa buktinya. Ramai yang bercakap kosong tanpa bukti. Orang seperti ini akan tergolong dalam golongan yang menyebarkan fitnah. 

Jika tuduhan ini benar, orang itu akan berhadapan dengan tuduhan mengaibkan saudara seIslam di hadapan Allah nanti.

Jika tuduhan ini salah, orang ini akan berhadapan dengan tuduhan menyebarkan fitnah serta mengaibkan saudara seIslam di hadapan Allah nanti.

Maka lebih baik diam daripada berkata-kata sesuatu yang tidak tahu. Saya merasa terpanggil ini kerana saya lihat sejak kebelakangan ini, rakan-rakan PAS saya yang baik dan tidak pernah memfitnah orang pun sudah mula menyebarkan berita yang bukan-bukan seperti ini. 

Sebelum bercakap, tanya pada diri sendiri, "adakah aku benar-benar tahu kebenaran cerita ini ?". Kalau tahu dan mampu bertanggungjawab (di hadapan Allah bukan di hadapan polis), ceritakan lah. Kalau rasa ragu-ragu, lebih baik diam.

Akhir sekali, walaupun Dato' Seri Najib naik ke tahta Perdana Menteri dengan membawa nama yang dikotori seperti ini, saya masih berharap beliau akan melaksanakan tugas dengan sangat baik dan dapat memajukan dan memakmurkan negara ini. Tidak seperti Pak Lah yang dilantik sebagai PM kerana "Mr. Clean" tetapi gagal melakukan apa-apa selain bermegah-megah tanpa kredibiliti. 


Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur
28 Mac 2009





Anda Adalah Jenama Perniagaan Anda

Syarikat-syarikat besar mempunyai kelebihan yang lebih berbanding dengan perniagaan kecil kerana mereka mempunyai lebih ramai pekerja dan sumber. Namun dalam masa yang sama, faktor ini akan membuatkan pelanggan merasa tidak mempunyai hubungan atau ikatan dengan syarikat ini. Kerana itulah mereka mewujudkan penjenamaan yang kuat supaya pelanggan sentiasa merasa mereka mempunyai hubungan dan ikatan dengan syarikat ini. 

Kita boleh ambil contoh seperti McDonald yang menggunakan tagline "i'm loving it" untuk menjadikan pelanggan mereka merasa mereka adalah sebahagian daripada syarikat tersebut. Ataupun TV3 yang menggunakan tagline "Inspirasi Hidupku". 

Mereka sering mengubah tagline ini tetapi berkisar dalam lingkungan yang sama iaitu untuk membuatkan pelanggan merasa syarikat mereka sebahagian dari hidup pelanggan. 


Jenama adalah sesuatu perkataan atau simbol yang menghubungkan minda dengan syarikat atau produk. Apabila membangunkan sesuatu jenama, pegawai pemasaran akan menghubungkan apa yang dimahukan/diperlukan oleh pelanggan dengan produk/syarikat. Mereka akan mencipta satu persepsi dimana sesuatu produk tersebut mempunyai kualiti yang menjadikannya unik dan istimewa serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan. 

Dalam perniagaan kecil, kita mungkin tidak mempunyai simbol atau tagline yang hebat untuk kita perkenalkan kepada pelanggan. (jika ada sekalipun, kita kekurangan modal untuk mengiklankannya sepertimana yang dilakukan oleh syarikat-syarikat besar). Jadi kita adalah jenama perniagaan kita sendiri. 
Penjenamaan diri kita mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak dapat dilakukan oleh syarikat-syarikat besar. Apa yang kita buat dan cakap akan melambangkan perniagaan kita. Apabila pelanggan menghubungi syarikat kita untuk membuat tempahan, atau membuat aduan, mereka berinteraksi secara terus dengan diri kita. Pelanggan suka berhubung dengan manusia dan bukan mesin atau robot atau manusia yang bekerja sebagai mesin. 

Dengan ini kita berada di tangga yang lebih atas berbanding syarikat besar yang mempunyai jenama atau tagline yang hebat. Pelanggan akan mempunyai satu ikatan perasaan yang positif apabila berhubung dengan kita atau apabila mendengar mengenai kita dari orang lain yang mereka kenali. 

Seterusnya apabila kita membuat website di internet untuk meluaskan perniagaan kita. Pastikan nilai-nilai manusia terdapat di website tersebut. Ramai orang cuba menunjukan bahawa syarikat mereka ini besar dan hebat dalam website. Kaedah ini bakal menikam kita semula kerana kita menghilangkan semua penjenamaan peribadi yang kita telah sedia ada dalam perniagaan kecil. Kita tidak lagi menjadi unik dan istimewa dari mata pelanggan. 

Tidak perlu ada gambar-gambar gempak atau hebat yang menunjukan semua orang dalam gambar memakai kot atau gambar 'mat salleh' sedang berpeluk tubuh memandang masa depan. Tidak ramai yang akan percaya. 

Ini antara contoh gambar yang biasa digunakan oleh perniagaan kecil. Adakah anda akan percaya syarikat ini berpusat di Malaysia ?

Secara ringkas, letakkan gambar anda jika perlu, gambar perniagaan anda dan tulis tentang siapa anda dan kenapa anda berniaga. Apa produk yang anda jual dan apa wawasan dan harapan anda melalui perniagaan ini. Tidak perlu ada ayat-ayat bombastik atau skema yang keterlaluan seperti yang ada di website syarikat-syarikat korporat. Jadikan semua ini formal, kemas dan teratur. Pastikan maklumat dalam website ini relevan untuk sesuatu masa tertentu samada 6 bulan atau setahun.

Mengenai pergerakan perniagan anda, mulakan blog yang akan menjadikan pembaca mengetahui perjalanan perniagaan anda. Jika ada soalan dari pelanggan, jawab soalan-soalan mereka. Jika pelanggan ini mendapat jawapan bagi persoalan mereka melalui blog anda. Ini akan menjadikan anda seorang pakar di mata mereka (setiap orang adalah pakar dalam bidang tersendiri). Ini menjadikan jenama diri anda lebih kuat dari hari ke hari. Anda akan mendapat pelanggan baru secara berpanjangan. 

Sebagai rumusan, logo yang hebat dan tagline yang menarik bukanlah jenama bagi perniagaan kecil. Apa yang kita cakap dan apa yang kita lakukan akan membentuk jenama kita. Bukan saja apa yang kita lakukan dalam perniagaan tetapi juga apa yang kita lakukan dalam setiap detik hidup kita. 

Dalam penjenamaan, KEPERCAYAAN adalah segalanya. 

Sekian, terima kasih

Shahabudeen Jalil
23 Mac 2009
Kuala Lumpur




Berbaloikah Semua itu ?

Artikel menarik dari Dr. Asri mengenai politik di negara kita. Moga sama-sama kita bermuhasabah.


Hadith Nabi Muhamad S.A.W. yang wajib menjadi panduan kita semua. 

“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Klik di sini untuk baca artikel ini yang bertajuk "Orang Politik ! Berbaloikah Ini Semua"

Terima kasih atas artikel berani oleh Dr. Asri. Moga Allah melahirkan lebih ramai golongan ulama' yang berani dalam negara kita dan dunia ini.

Shahabudeen Jalil
22 Mac 2009
Kuala Lumpur





Keratan Akhbar Berita Harian 22 Mac 2009



Sebagai pembetulan artikel yang keluar di Berita Harian ini, saya ingin nyatakan bahawa saya hanya fasih dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris. Bahasa Cina yang saya tahu hanyalah bahasa asas yang digunakan untuk memborong dan berniaga. Bahasa Jerman saya pernah pelajari selama 2 tahun sewaktu membuat persediaan ke luar negara, namun saya gagal dalam ujian tersebut. Bahasa Rusia saya belajar sejak setahun yang lepas, dan Bahasa Arab baru sangat bermula (baru habis dalam 10 jam pembelajaran)


Harap maklum. 

Shahabudeen Jalil




Entry Dalam Blog AirAsia

Saya sendiri tak perasan bahawa blog Airasia siarkan artikel ringkas yang saya hantarkan lebih sebulan yang dulu.. 


boleh tengok di link ini 




Perjalanan Laksamana Cheng Ho / Zheng He






Jenama dan Penjenamaan

Jenama dan penjenamaan adalah salah satu aspek terpenting dalam perniagaan dan kehidupan seharian kita. Sekecil-kecil perkara dalam hidup mempunyai penjenamaan. 


Malah nama tubuh badan kita sendiri pun adalah satu jenis penjenamaan yang diletakan oleh ibubapa kita ke atas kita sewaktu kita lahir. Proses penjenamaan bermula dengan memilih nama yang baik. Ibubapa kita membuat senarai nama, mengkaji maksud setiap nama, membuat survey dikalangan keluarga dan rakan-rakan mereka serta menyebut berulang-kali nama yang bakal dipilih. 

Kadang-kala proses ini memakan masa berbulan-bulan lamanya. (Saya sendiri menjadi mangsa keadaan dalam hal ini kerana nama saya didaftarkan selepas kira-kira 6 bulan selepas dilahirkan. Saya sendiri tak tahu apa yang difikirkan oleh ibubapa saya selama itu)

Penjenamaan adalah satu sentimen dan perspektif yang diletakan oleh masyarakat ke atas perniagaan kita. Tiga unsur utama yang penting dalam satu-satu penjenamaan selepas pemilihan nama (saya akan menulis mengenai pemilihan nama dalam artikel yang lain) adalah dikenali, disukai dan dipercayai. 

Jika tiga unsur ini ada pada satu-satu jenama, maka jenama ini berada di landasan yang betul untuk berjaya. 

Pelanggan tidak akan teragak-agak untuk membayar lebih jika apa yang mereka akan beli ini tidak mempunyai risiko yang merugikan mereka.

Tidakkah kita merasa lebih selamat, bangga dan merasa diri kita ke taraf yang lebih tinggi apabila kita  minum kopi di Starbucks berbanding di gerai di tepi jalan ?

Tidakkah kita merasa lebih selamat, bangga dan merasa diri kita ke taraf yang lebih tinggi apabila kita memandu kereta Toyota, BMW atau Mercedes berbanding memandu Kancil ?

Tidakkah kita merasa lebih selamat, bangga dan merasa diri kita ke taraf yang lebih tinggi apabila kita membeli-belah di Tesco, Carrefour atau Giant berbanding membeli-belah di kedai runcit ?

Kenali Perniagaan Kita

Ini adalah soalan pertama yang harus ditanya untuk memulakan proses penjenamaan (selepas pemilihan nama). Kita perlu mempunyai satu identiti yang unik dan istimewa untuk dikenali. Sebelum kita memperkenalkan perniagaan kepada masyarakat, kita harus mengenali perniagaan kita. Kenapa kita unik dan kenapa kita istimewa berbanding perniagaan lain ?

Contohnya adalah jenama-jenama besar seperti McDonald, Coca-cola dan lain-lain. Produk yang disampaikan adalah istimewa dan unik dan tidak terdapat dalam produk lain dalam kategori yang sama. Jika ada sekalipun, produk-produk ini jauh lebih baik. 

Proses Penyampaian

Setelah kita war-warkan bahawa produk/perkhidmatan kita adalah unik dan istimewa. Kita perlu menyampaikan perkara yang unik dan istimewa ini dalam bentuk yang terbaik dan menepati kehendak pelanggan. 

Jangan jadikan pengalaman membeli barangan dari kita sebagai satu pengalaman yang menyerikkan sehingga pelanggan tidak mahu lagi melalui proses ini. Biasanya harga produk/perkhidmatan, masa penyampaian dan layanan memainkan peranan penting.

Jika kita ke satu restauran yang terkenal yang mempunyai makanan yang unik dan sedap, tetapi layanannya teruk atau masa makanan ini sampai sangat lambat. Ini akan membuatkan pelanggan menjadi serik dan sekaligus men'jenamakan' restauran ini sebagai restauran yang tidak efisien. 

Layanan Selepas Jualan

Selepas sesuatu jualan telah selesai, walaupun kita tidak lagi terikat dengan pelanggan namun tempoh waktu ini juga sangat penting kerana ini adalah waktu di mana pelanggan sedang menggunakan produk atau perkhidmatan yang kita sampaikan. 

Jika kita menjaga bahagian ini dengan baik, pelanggan kita akan menjadi agen promosi kita yang terbaik (promosi mulut ke mulut adalah iklan yang terbaik bagi sesebuah perniagaan).

Ini dapat dilakukan dengan menghubungi pelanggan setelah beberapa waktu jualan dilakukan, menghantar kad hari jadi, melayan kerenah pelanggan jika mempunyai masalah dengan barangan jualan atau perkhidmatan kita. 

Konsistensi 

Dalam aspek keempat ini, produk dan perkhidmatan kita perlulah sentiasa konsisten jika tidak lebih baik. Kita perlu sentiasa memikirkan kaedah menjadikan produk dan perkhidmatan kita lebih baik. 

Contoh bagi konsistensi : Jika kita menjual makanan, pastikan makanan itu adalah segaram dan sama setiap masa (jika lebih baik adalah bagus). Jika makanan ini berubah-ubah. Ini akan menjadikan pelanggan merasa seolah-olah mengambil risiko untuk kembali membeli atau menggunakan perkhidmatan kita. 


Jika sekiranya kita mempunyai empat ciri-ciri ini, pelanggan tidak akan teragak-agak untuk membayar lebih kepada kita. Apa yang penting bagi pelanggan adalah perasaan mereka yang merasakan diri mereka selamat, bangga dan meningkat ke taraf yang lebih tinggi selepas membeli atau menggunakan perkhidmatan kita. 

Sekian, terima kasih


Shahabudeen Jalil
17 Mac 2009
Kuala Lumpur





Pejabat MECD di Pertama Kompleks



Harini setibanya di pejabat MECD di Pertama Complex, saya cuba membuka pintu tapi tak boleh. Pintu dikunci. Lampu dalam pejabat semuanya masih menyala. 


Saya ingat saya datang lambat dan dah habis office hour, tengok jam baru pukul 3.15 petang. Saya cuba tengok kalendar kat telefon, mungkin salah hari agaknya. Harinie hari Isnin. 
Mungkin cuti agaknya, tak juga, sebab bank buka.

Tunggu dan tunggu dan tunggu.. ada beberapa orang lagi usahawan-usahawan lain datang. Diorang pun cuba buka pintu, tak dapat juga. Masing-masing kehairanan. 

Setelah berbual bersama mereka. Masing-masing buat kesimpulan bahawa pekerja di dalam pejabat ini telah keluar. Tempat duduk dalam pejabat ini ada untuk kira-kira 6 orang atau lebih. Tapi tak ada sorang pun dalam pejabat. 

Saya cuba bersangka baik. Mungkin ada kecemasan kot. Mungkin ada ahli keluarga atau ahli pejabat ini yang terlibat dalam kemalangan atau ada kematian yang tidak disangka. 

Macam-macam drama bermain dalam fikiran saya, sebab saya taknak fikir diorang nie curi tulang atau lain-lain yang sewaktu dengannya. Kalau fikir macam itu, kita sendiri yang jadi tension. 

Tup tap tup tap tup tap....

Jam dah pukul 3.45. Tiba-tiba ada seorang gadis manis yang berlari-lari anak dari jauh. Dengan memegang beg plastik pasaraya Giant di tangan dan tersengih-sengih datang membuka pintu untuk kami yang sedang menunggu ini.

Terima kasih banyak pada gadis itu, tetapi sangat menyedihkan apabila memikirkan masa bekerja dijadikan masa untuk bershopping. 

Apabila ditanya, gadis itu berkata dia keluar makan dan tak ada seorang pun dalam office pada hari ini kerana alasan-alasan tertentu. Entah betul entah tidak. 

Lebih baik kita bersangka baik ???


Shahabudeen Jalil
16 Mac 2009
Kuala Lumpur




Kedaiku di Masjid India - Bahagian 2

Entry Pertama : Bahagian 1 

Melalui tinjauan dan soal jawab yang dibuat oleh saya ke atas beberapa orang rakan saya. Ramai yang bersetuju bahawa lokasi ini sangat strategik. Cuma yang menjadi persoalan sekarang ini adalah samada produk ini sesuai atau tidak bagi kawasan ini. Rata-rata kedai di sini menjual tudung, baju kurung, telekung, kerongsang dan lain-lain yang berkaitan. Belum ada satu pun kedai yang menjual pinggan mangkuk seperti ini. 

Idea ini akan menjadi sangat bagus, atau tidak akan menjadi langsung. Saya harap idea ini menjadi Insya-Allah. 

Sepanjang beberapa hari ini. Ada beberapa kerja yang dilakukan. Antaranya adalah seperti berikut.

Renovation 

- mengecat semula kedai.
- memasang rak cermin kaca.
- membuang karpet lama dan pasang karpet baru (esok baru buat)
- menukar lampu kalimantang yang telah rosak.

Secara asasnya, tak banyak kerja.. tapi kerja-kerja ini perlukan perancangan yang agak rapi dari segi ukuran dan plan asal untuk membuatnya.

Saya mengambil seorang pekerja indonesia bernama Mat. Dia boleh buat hampir kesemua kerja-kerja pengubahsuaian. Ayah saya pula membantu dia untuk beri idea dan cadangan. 




Ayah saya bersama dua orang pekerja Indonesia sedang membuat kerja  pengubahsuaian.



Mat dan kawannya. 

Esok, Insya-Allah dah masukan stok barangan. Pada mulanya planning nak masukan hari ini tetapi tak sempat. 

Operasi

- Saya membuat pertemuan dengan rakan saya yang mahir dalam bidang perakaunan untuk membuat akaun untuk syarikat ini. Saya lantik dia sebagai pekerja part time yang akan datang seminggu sekali untuk membuat akaun dan memeriksa stok. 

- Gadis Indonesia di sebelah kedai saya mengesyorkan seorang rakannya untuk bekerja di kedai saya. Dia berkata gaji di kawasan ini adalah sekitar RM 800 untuk sebulan. Rakan kepadanya ini adalah orang tempatan. Saya masih belum membuat keputusan lagi mengenai hal ini. 

Produk

Dibawah adalah antara gambar produk-produk :


Kepada yang berminat, boleh datang tengok kedai. Mungkin Ahad (15 Mac 2009) ni dah siap dengan barangnya sekali. 

Selain dari itu, ada juga barangan lain yang masih dalam perancangan untuk dimasukan ke kedai ini. Antaranya :

- Stoking tawaf
- Table-runner
- Kotak hantaran
- Kotak dalam kotak
- Alas meja makan

Ada rakan saya menasihati untuk tidak menulis laporan ini di internet kerana ia akan menampakan bertapa kecilnya perniagaan kita. Saya pula berpendapat, kalau dah memang betul kecil, apa yang hendak disembunyikan. 

Bagi saya, melalui penceritaan ini, saya dapat membuat rekod secara tak rasmi tentang apa yang saya telah lakukan dan dalam masa yang sama akan menjadi satu panduan kepada mereka yang baru hendak memulakan perniagaan. 

Tun Mahathir pernah mengeluarkan sebuah buku nipis bertajuk "Panduan Peniaga Kecil" pada tahun 1973 yang menerangkan secara terperinci tentang bagaimana untuk mengendalikan sebuah perniagaan kecil. Buku ini banyak menyumbang kepada peniaga-peniaga kecil seperti saya. 


Boleh dapatkan rumusan buku ini di blog ini. 

Moga catatan ini akan menjadi panduan peniaga kecil di masa depan sepertimana buku Tun Mahathir menjadi panduan kepada peniaga-peniaga kecil sekarang 

(Tentu ayah aku marah baca posting ini sebab dia anti-Mahathir. he he he) 


Sekian, terima kasih 


Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur
13 Mac 2009





Kedaiku di Masjid India - Bahagian 1

Kata-kata kawan baik saya Sidry (atau lebih dikenali Sinar Inspirasi) yang berkata kepada saya sewaktu kami lepak pada satu malam terngiang-ngiang dalam kepala. 

 "Lil, kami dok cari kedai baru lagi sebab sekarang ni kami masih ada waktu untuk tidur petang. Kedai baru ini akan membuatkan kami tak ada masa untuk tidur petang dan kedai ini akan menjadi inspirasi untuk kita bekerja dengan lebih kuat"

Kemudiannya pada minggu lepas, sewaktu berjalan-jalan di kawasan Masjid India, terjumpa ada satu kedai ada tertampal "untuk disewa". Setelah saya buat kajian selama beberapa hari, nampak gaya macam kedai ini sesuai untuk diambil sewa.


Dari sudut ini kita dapat melihat Jalan Tunku Abdul Rahman dan tandas yang terletak dihadapan panggung wayang Colleseum 

Dari arah ini pula, menuju ke Masjid India. Kira-kira 20 langkah dari tapak pasar malam

Kata-kata Sidry itu tadi kembali menjelma, menguatkan lagi semangat untuk menyewa kedai ini. 

Setelah ditelefon pada tuan kedai, diberitahunya sewa untuk kedai sekecil itu di kawasan itu adalah RM 4000. Saya tidak terkejut sangat kerana saya ada pengalaman menyewa di kawasan itu sebelum ini tetapi percubaan pertama itu gagal. Terduduk.

Ini percubaan kedua, banyak yang saya belajar dalam kegagalan kali pertama itu. Pengalaman yang tak mungkin dapat dipelajari dari mana-mana universiti atau buku. 

Lokasi ini nampak ok kerana sebab-sebab berikut

1. Berdekatan dengan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India
2. Tempat ini menjadi tempat lalu lalang pekerja-pekerja di bangunan DBKL, KWSP, Bank Negara dan pejabat-pejabat lain untuk ke tempat makan di Jalan Masjid India.
3. Terdapat pasar malam yang pada hari Sabtu malam Ahad.
4. Terdapat pasar Ramadhan sepanjang bulan Ramadhan. 

Antara yang saya dipelajari walaupun masih belum mahir dalam semua ini, saya sedar saya harus terus belajar. 

1. Kita perlu tahu politik untuk menjaga orang yang bekerja dibawah kita. 
2. Kaedah penyusunan barangan.
3. Jangan jual barangan secara kredit jika anda membeli barangan ini dengan tunai (cash). 
4. Buat pengakaunan yang lengkap sejak dari awal.
5. Jangan jadikan kedai tempat kawan-kawan lepak atau buat port sampai pelanggan jadi takut nak masuk ke kedai. (he he he)
6. Promosi yang berterusan. Perniagaan akan berkembangan berkadar terus dengan tempoh masa kita berada dalam satu-satu perniagaan. 

Ini imbasan tentang apa yang saya belajar sebelum ini.

Sekarang apa kita perlu buat ??? 

Setelah fikir dan fikir, saya perlu buat benda-benda berikut.

1. Bayar Deposit sewa
- Sewaktu saya telefon, soalan pertama yang ditanya adalah barangan apa yang saya nak jual. Saya cakap, mungkin pinggan mangkuk. Dia cakap, "kalau pinggan mangkuk ok. Kalau tudung, tak boleh"

2. Tentukan produk. 
-Setelah difikirkan, saya membuat keputusan untuk membuka kedai pinggan mangkuk dan benda-benda yang berkaitan dengan golongan 'akak dan makcik'. Saya tak berminat nak menjual tudung

3. Renovation 
-Saya budget dalam RM 2000 saja untuk renovation. Kebetulan kenal dengan orang Indonesia yang buat kerja-kerja ini. Dah panggil dia untuk tengok apa yang perlu diubahsuai. Perlu buat rak-rak untuk meletakkan mangkuk dan produk lain. 

4. Cari orang kerja
- Pada mulanya, saya nak ambil 2 orang, seorang kerani akaun dan seorang lagi salesgirl. Kawan saya pula mencadangkan, saya mencari orang untuk membuat akaun ini secara part-time. Maksudnya, kerani akaun ini hanya akan datang ke kedai sekali dalam seminggu untuk buat akaun dan pemeriksaan stok. Kalau dia duduk setiap hari dalam kedai pun tak berapa sesuai. 

Betul juga kata kawan saya. Jadi saya menghubungi rakan saya yang bekerja di Bank Negara (kebetulan berdekatan dengan tempat saya) untuk dilantik menjadi kerani akaun minggu saya. Dia bersetuju. Bayaran hanya RM 500 berbanding RM 1300-1500 yang perlu saya bayar kepada kerani akaun full time. (Rakan ini pula sudah mempunyai ACCA, sijil yang diiktiraf dalam bidang perakaunan). 

Dengan penjimatan ini pula, saya dapat mengambil dua orang salesgirl. Terima kasih kepada Ibnu Hasyim yang memberikan idea ini. 

5. Mencari nama perniagaan 
- Masih berfikir-fikir. Ikutkan hati nak letak nama adik saya. Aishah. Tapi belum buat keputusan lagi mengenai ini. 


Sekian buat kali ini.  Saya akan menyambung lagi Insya-Allah jika ada masa dan kesempatan. 

Shahabudeen Jalil
10 Mac 2009
Kuala Lumpur





Tahniah Kepada AR Rahman

A.R. Rahman


Tahniah diucapkan kepada AR Rahman yang memenangi beberapa anugerah Oscar beberapa hari yang lepas. 

Yang lebih menarik, diakhir ucapannya beliau meminta kebenaran untuk bercakap di dalam bahasa Tamil dan menyebut satu ayat dalam tamil yang membawa maksud "Segala Puji Bagi Tuhan" dan kemudiannya menyebut "God is Great". 

Moga Tuhan kurniakan lebih banyak pengiktirafan kepada beliau. Boleh baca biografi beliau di sini.




Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur
10 Mac 2009




Kebencian Rakyat Sesebuah Negara

Saya masih ingat pengalaman berharga yang saya dapat sewaktu sedang merentasi China melalui keretapi dari Guangzhou ke Hangzhou. Perjalanan ini memakan masa kira-kira 29 jam. Pada waktu itu, saya bersama rakan saya Sam Xiao. 


Selepas kira-kira 12 jam, kami sudah masing-masing mengenali semua orang yang berada di katil berdekatan dengan kami. Maka mereka pun mula bertanya kepada Sam tentang siapa saya dan dari mana, apa tujuan saya datang dan sebagainya. 

Pada waktu itu, percakapan saya akan diterjemahkan ke bahasa Mandarin oleh Sam. Apa yang mereka cakap pula akan diterjemah ke bahasa Inggeris supaya saya dapat faham. 

Tiba-tiba salah seorang dari 'jiran' kami ini mengajukan soalan kepada saya dalam bahasa Mandarin. 

Lelaki Jiran (LJ) : Sam, cuba tanya dia. Apa pendapat dia tentang Jepun.

Sam terjemahkan kepada saya.

Saya : Saya tak pasti Sam. Bagi kami orang Malaysia, kami anggap mereka ini orang yang rajin walaupun mereka pernah menjajah kami. Ramai di Malaysia yang mengagumi teknologi mereka dan bagaimana mereka ini boleh bangun dan maju selepas Perang Dunia Kedua. 

Belum sempat Sam terjemahkan kepada lelaki tersebut, lelaki itu terus menyampuk.

LJ : Aku akan tumbuk muka dia jika dia kata orang Jepun bagus. 

Aiyak !!! Terkejut aku. Nasib baik Sam belum sempat terjemahkan apa yang aku katakan tadi. 

Sejak itu, saya sering bertanya kepada Sam mengenai perkara ini. Selain itu saya juga membaca mengenai perkara ini. 

Rupa-rupanya mereka ini sangat membenci orang Jepun kerana peristiwa yang berlaku pada 1937 atau 70 tahun yang lalu. Peristiwa ini dinamakan Nanjing Massacre atau The Rape of Nanjing

Perkara ini berlarutan sehingga hari ini hanyalah kerana Jepun enggan memohon maaf dan bertanggunjawab di atas kematian 200,000 hingga 300,000 orang.

Bagi pemimpin Jepun pula, meminta maaf kepada China bererti mereka mengutuk pejuang tentera mereka sendiri. Maka rakyat Jepun pula akan bangkit membantah. Bak kata pepatah, diluah mati ibu, ditelan mati bapa. 

Sentimen ini rata-rata dikongsi oleh majoriti rakyat negara China sehingga ke hari ini. 

Selain dari China yang membenci Jepun, terdapat juga kebencian-kebencian lain yang wujud di dunia ini. 

Di Rusia 

Rata-rata rakyat negara ini membenci Amerika Syarikat. Pernah sewaktu di Moscow, sewaktu video mengenai Bush keluar di TV, terdapat orang yang menunjukan isyarat 'jari tengah' dan isyarat menendang sebagai menunjukan kebencian mereka kepada Bush dan Amerika Syarikat. 


Di Mesir 

Menurut Ustaz Bahasa Arab saya, di Mesir, mereka sangat menyukai orang 'mat salleh' dari negara British, mereka anggap orang British ini sebagai rakan. Namun, mereka membenci orang dari Turki, kerana mereka anggap orang Turki ini adalah penjajah mereka. 


Di Perancis

Rakyat Perancis rata-rata membenci orang British. Mungkin ini adalah kerana kekalahan mereka dalam peperangan Waterloo pada tahun 1815 (hampir 100 tahun lepas). Mereka juga keberatan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan harian mereka. 


Di United Kingdom

Mereka tidak membenci rakyat Perancis seperti rakyat Perancis membenci mereka tetapi mereka akan melabelkan rakyat Perancis ini sebagai busuk dan pengotor (tetapi ini adalah hakikat yang benar di Paris, keadaan rumah kediaman mereka agak kotor dan busuk)


Di New Zealand

Orang New Zealand atau Kiwis adalah orang 'mat salleh' yang paling hubungannya dengan orang-orang asing. Namun mereka kurang menyenangi orang-orang Maori (dan yang sebangsa) dari kepulauan-kepulauan kecil seperti Fiji, Samoa, Tonga dan lain-lain. Orang-orang dari kepulauan-kepulauan ini pula lebih rapat dengan orang Asia berbanding orang putih sendiri walaupun mereka senegara. 


India-Pakistan

Walaupun mereka membenci satu sama lain dari aspek politik. Sentimen rakyat tidak lah begitu kuat dalam pembencian ini. Rakyat India hanya mahu pasukan kriket mereka mengalahkan pasukan kriket Pakisan dan juga sebaliknya. 


Malaysia 

Kita di Malaysia, kurang membenci orang asing walaupun mereka pernah menjajah kita suatu masa dulu. Kita seharusnya bersyukur. Kebencian bukanlah satu perasaan yang bagus. Hari ini jika disebut kepada kita perkataan Jepun, Portugal, Belanda atau England. Kita lebih mengingati pasukan bolasepak mereka berbanding dengan apa yang mereka lakukan kepada kita. Alhamdulillah. Kita dikurniakan Tuhan dengan hati yang bersih. 

Namun, terdapat 'set-back' juga dalam hal ini. Apabila kita tak ada musuh di luar, kita mencari pula musuh dalam negara. 

Kita boleh lihat sendiri, bagaimana orang di Malaysia ini 'berperang' melalui politik sehingga ke tahap yang meruncing. Jika dulu kita sering dengar orang yang tidak menghadiri kenduri-kendara, kematian dan putus saudara semata-mata kerana perbezaaan politik. Hari ini pula, kita dapat lihat bagaimana orang berperang merebut kuasa sehingga menghalalkan hampir apa saja. (Syukur belum ada bunuh membunuh.)

Mungkin ada baiknya kita mencari musuh di luar berbanding kita bergaduh sesama kita. 

*Analisis di atas ini adalah sekadar pemerhatian dan pandangan yang tidak mempunyai asas yang kukuh. Harap maklum. 

Terima kasih 

Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur
8 Mac 2009




Bekerja dan Berniaga ?

Tulisan terbaru Nobisha dalam blog beliau bertajuk PRIORITI AHLI PARLIMEN DAN ADUN mengulas mengenai pembuangan kerja pekerja-pekerja di kilang-kilang di Malaysia. 


Petikannya adalah seperti berikut

Reuters melaporkan Flextronics International telah memaklumkan kepada Kementerian Sumber Manusia bahawa ia akan memberhentikan seramai 1,382 pekerja di kilangnya di Shah Alam. Ini berikutan kemerosotan permintaan untuk produk teknologi yang dikeluarkan oleh syarikat itu akibatkan kegawatan ekonomi global. Bloomberg melaporkan bahawa eksport negara merosot ke tahap paling rendah dalam tempoh 15 tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Dato' Ismail Abdul Rahim pula dilaporkan berkata seramai 22,887 orang telah dibuang kerja dalam tempoh lima bulan lepas. Penganalisis ekonomi meramalkan kadar pengangguran akan meningkat sehingga 4.5% pada tahun ini.

Sementara itu, The Edge Daily mengatakan bahawa kalau sewaktu krisis ekonomi pada tahun 1997 dulu hanya sektor korporat yang merasai kesannya, sekarang rakyat yang akan menjadi mangsa.

Kekayaan yang sebenar bagi sesebuah negara adalah di tangan usahawan dan peniaga. Pelabur asing datang dan pergi mengikut keperluan mereka. Jika mereka rasa negara kita murah, mempunyai tenaga mahir, mempunyai insentif-insentif menarik bagi mereka, mereka akan melabur. Tetapi jika mereka melihat terdapat negara lain yang menawarkan sesuatu yang lebih lumayan dan murah, sudah tentu mereka akan berpindah ke negara lain. 

Ini berbeza jika kerajaan membangunkan bidang keusahawanan kerana kekayaan ini akan kekal dalam negara dalam apa keadaan sekalipun. Sedikit sekali usahawan yang sanggup lari dari negara ini dengan membawa perniagaannya bersama. 

Apabila pelabur ini meninggalkan negara ini. Mereka akan meninggalkan tanpa bertali berpuluh ribu orang yang telah bekerja makan gaji selama 10 tahun, 20 tahun dan 30 tahun. 

Mereka yang susah terbiasa dengan kerja makan gaji ataupun sudah terbiasa dengan membuat kerja yang sama setiap hari tanpa berfikir banyak, tentulah akan mencari syarikat lain yang juga menawarkan kerja yang sama. 

Jikapun mereka mendapat pekerjaan baru, mereka perlu belajar semua kemahiran-kemahiran baru dan ini sudah tentu memakan masa dan tenaga yang banyak. Mereka yang terlatih untuk kerja seperti robot pula akan merasa susah untuk berfikir dan mempelajari kemahiran-kemahiran baru. 

Itu tadi dari aspek perancangan bagi sesebuah negara. Bagi kita sebagai individu pula, sudah tentu kita juga harus mengkaji samada kita hendak terus bekerja dengan orang atau memilih laluan yang berbeza. Bekerja dengan orang juga bermaksud memautkan diri kita di tali orang lain. Tali ini boleh putus pada bila-bila masa dan tidak menjamin masa depan. 

Perniagaan juga memakan masa yang panjang untuk kita memahami secara penuh, tetapi pemikiran yang kita gunakan setiap hari untuk memajukan perniagaan akan menjadikan pemikiran kita lebih tajam. Dengan ini, kita mungkin mampu membuat beberapa jenis perniagaan dalam masa yang sama. 

Adalah baik jika kita mengusahakan perniagaan sejak dari muda dan dengan itu kita akan mempunyai masa yang lebih panjang untuk membangunkan perniagaan. 

Jadi adalah satu kelebihan besar jika kita berusaha keras untuk memulakan perniagaan sewaktu muda. Insya-Allah selepas 10 tahun atau 20 tahun, perniagaan kita sudah stabil.

Jika kita mati nanti, perniagaan ini dapat diwarisi kepada anak cucu kita. Pekerjaan makan gaji tidak mungkin dapat kita warisi. 

Bermulalah sebelum terlambat. 

Jadi saya ingin mengajak rakan-rakan yang dibuang kerja untuk sama-sama kita mengusahakan perniagaan. Moga dengan ini, negara kita akan menjadi lebih kaya raya. Insya-ALlah. 


Shahabudeen Jalil
7 Mac 2009
Kuala Lumpur




Blog Aidan Group

Dalam entry ini, saya nak promote blog rakan-rakan saya yang berada dalam sebuah syarikat bernama Aidan Group. Hampir kesemua dari rakan-rakan saya ini adalah pelajar-pelajar yang menamatkan pelajaran di Amerika Syarikat dan Jerman. 


Dalam blog mereka, setiap hari salah seorang dari pengarah syarikat ini akan menulis. Lama saya tidak jenguk ke blog ini, tiba-tiba hari ini bila saya masuk. Wow, sangat mengagumkan apa yang mereka tulis. 

Untuk tahu, adalah lebih baik tuan-tuan masuk sendiri ke sana untuk membaca sendiri tulisan usahawan-usahawan muda itu. 




Pertemuan Dengan Pimpinan Hamas


Semalam saya, Ustaz Amin dan beberapa rakan lain bertemu dengan dua orang dari Hamas. Salah seorang adalah timbalan menteri dan seorang lagi adalah seorang ketua jabatan di Jabatan Perdana Menteri Palestin.


Saya mencadangkan 2 perkara dalam pertemuan itu.

1. Membawa anak-anak yatim dari Palestin dan diletakan di rumah anak yatim Al-Ijabah kami dan diberikan pendidikan yang sempurna dan selepas itu dihantar pulang untuk membangunkan negara mereka. 

2. Bantuan barangan adalah lebih murah dan memberi nilai tinggi berbanding bantuan kewangan. Contohnya jika kita beri duit, duit itu akan digunakan untuk membeli barangan. Contohnya kita bagi RM 20, mereka akan beli beg sekolah dengan RM 20 tersebut. Tetapi jika kita beli barangan yang sama dari China, ianya hanyalah sekitar RM 5. Jadi ini menguntungkan penderma dan menghalang penyalahgunaan.

Namun kedua-dua cadangan ini ditolak dengan baik oleh wakil Hamas ini memandangkan mereka memerlukan kewangan sebagai prioriti utama untuk membangunkan infrastruktur negara itu. 

Tentang cadangan pertama pula, mereka mengatakan adalah sesuatu yang melanggar etika budaya mereka untuk menghantar anak berjauhan dari keluarga pada usia remaja. 

Malam ini insya-Allah ada satu lagi mesyuarat bersama pemegang amanah Yayasan Al-Ijabah tentang apa yang boleh dilakukan oleh kita untuk membantu sekadar yang termampu. 

(Boleh baca panjang lebar tentang pertemuan ini di blog Ustaz Amin )


Shahabudeen Jalil
5 Mac 2009
Kuala Lumpur




Bodohnya Orang America.






Rombongan 21-27 hb Februari 2009





Produk 003 - Pen Spy Berkamera

Sila lihat video dibawah mengenai pen yang mempunyai kamera. Mempunyai memory 4gb. 




Harga RM 130

Untuk harga borong, sila email kami di kursusborongchina@gmail.com 

Terima kasih