Keratan Akhbar 7 September 2009


Peluang jadi usahawan borong

Sebahagian peserta Kursus Memborong di China anjuran Anzac Consultancy MEGA – Utusan Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.



JANGAN pandang remeh label Made in China (Diperbuat di China) yang berlambak di pasaran. Jika anda perhatikan betul-betul, label itu bukan sahaja didapati pada pakaian atau barangan dijual di pasar malam malah butik berjenama di pusat membeli-belah terkemuka dunia juga tidak dapat lari daripadanya.

Ini kerana negara China cukup terkenal sebagai hab atau destinasi pemborong terbesar di dunia dengan persaingan harga yang cukup sengit di samping tahap kualiti barangan juga semakin meningkat.

Tidak hairanlah ramai rakyat tempatan sendiri mula beralih ke Shenzen dan Guangzhou disebabkan kepelbagaian barangan jualan dengan harga jauh lebih murah berbanding Jakarta, Bandung atau Bangkok.

Menurut Shahabudeen Jalil, terdapat keinginan yang tinggi di kalangan usahawan Islam khasnya untuk mengurangkan pergantungan kepada orang tengah sebaliknya menjadi pemborong secara terus.

“Ramai yang ingin keluar untuk mencari harga lebih baik memandangkan keadaan ekonomi sekarang menuntut pengguna agar berhati-hati berbelanja.

“Penyelesaiannya adalah menjadi pemborong secara terus dan mendapatkan produk berkualiti pada harga murah dari China, pada masa yang sama menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan,” katanya yang merupakan Penasihat Anzac Consultancy.

Syarikat perunding itu mengendalikan Kursus Memborong di China dengan usahasama akhbar sisipan MEGA – Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini dengan lebih 120 peserta menghadirinya.

Kursus itu turut melibatkan topik penting berkaitan urusan pasport dan visa, tambang penerbangan, hotel atau hostel penginapan, pengangkutan, persediaan memborong, contoh produk berpotensi, melakukan urusan kewangan dan menghantar balik barangan ke Malaysia.

“Tidak semestinya orang Cina, Melayu juga boleh dikatakan bijak melakukan pemasaran tetapi masih kurang yakin untuk keluar negara bagi meneroka pasaran borong yang jauh lebih murah,” ujarnya.

Atas kesedaran itu, beliau mengambil inisiatif mereka modul ‘Kursus Memborong di China’ khas untuk umat Islam. Usaha itu mendapat sokongan menggalakkan terutama di kalangan para pemborong Melayu.

Kini, Anzac Consultancy turut menganjurkan rombongan memborong ke China dan negara sumber lain seperti Vietnam, India, Korea dan banyak lagi.

Sementara itu, Kursus Memborong Di China bersama Mega mendapat respons daripada para peserta yang terdiri daripada usahawan berpengalaman, peniaga kecil-kecilan mahupun mereka yang baru berjinak-jinak dengan industri borong.

Antaranya, Razaly Abdullah, 60, pemilik Syarikat Perkhidmatan Zainal lebih dikenali sebagai Zainal Canopy yang menjalankan perniagaan sewa peralatan, pengendali dan perunding cara majlis sekitar Lembah Klang, Seremban dan Melaka.

“Tujuan saya menyertai kursus ini adalah untuk mendapatkan panduan yang tepat berbanding sebelum ini. Apatah lagi masalah bahasa dijadikan kesempatan oleh para peniaga di China untuk mengambil untung atas angin.

“Sebagai syarikat menyewa khemah dan kanopi di samping menjalankan perniagaan katering, saya kerap ke China untuk mendapatkan kelengkapan dengan harga borong,” katanya sambil menambah, pasaran sewa beli khemah juga semakin sengit disebabkan pengurangan harga kos.

Bagi Mohd. Yunus Mohd. Shaarif, 50, kursus seumpama itu membuka peluang perniagaan baru kepada usahawan kecilnya dan isteri yang sebelum ini memperoleh bekalan barangan jualan aksesori wanita dan kain ela dari Jogjakarta dan Bandung, Indonesia.

Tambahnya, kebanyakan suri rumah memilih perniagaan seumpama itu memandangkan permintaan tinggi oleh komuniti sekitar disebabkan harga yang kompetitif di samping tidak perlu menempuh kesesakan jika membeli-belah di ibu kota.

“Ramai berpendapat bahawa barang di Indonesia murah tetapi di China, harganya jauh lebih rendah dan pelbagai produk berkualiti ditawarkan serta menepati selera rakyat tempatan,” katanya yang memiliki butik di USJ1, Subang Jaya.

Suri rumah, Yusni Idris, 46, pula ingin mendapatkan pandangan dan maklumat terperinci akibat tertarik setelah membaca buku mengenai perniagaan borong yang selama ini dimonopoli para peniaga Cina.

“Buku itu mengenai bagaimana untuk menjadi jutawan dengan menjalankan perniagaan berpotensi besar, salah satunya memborong.

“Sebelum ini saya pernah berniaga kain ela secara kecil-kecilan tetapi kurang mendapat sambutan. Inilah hasrat saya untuk menceburi bidang perniagaan demi masa depan anak-anak,” kata ibu kepada enam orang anak ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai peluang menjadi usahawan pemborong, lawati laman webwww.kursusborongchina.com.

Klik di sini untuk link Utusan Malaysia

Dapatkan video Rahsia Teknik Jualan
Masukkan nama & email anda dibawah

Anda juga akan menerima tips, panduan, dan teknik perniagaan pemborongan terus ke inbox.
This entry was posted in keratan. Bookmark the permalink.

3 Responses to Keratan Akhbar 7 September 2009

  1. Beata Stultica says:

    Tahniah!!!

  2. Shahabudeen Jalil says:

    T.kasih

  3. Anonymous says:

    saya sgt berminat tp modal saya xbyk dlm rm20000,blh ke? blh ke encik bantu saya.saya br nak berjinak2 dlm perniagaan.my email am_apek9980@yahoo.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>